Thursday, February 4, 2010

Setakat mana tawakal kita?

"Salam, Saadah macam mana dengan adik usrah yang kita target itu, boleh tidak untuk dibawa ke program?" tanya Kak Wana.

"Salam kak. susahlah kak. Adik itu bila nak ajak buat usrah pun tidak datang. Macam tidak boleh bawa ke program sahaja" jawab Saadah.

"Aishh, mana boleh buat begitu. Jangan cepat putus asa. Cuba datang bilik dia tengok dan tanya masalah. Saadah kena letak harapan yang tinggi apabila hendak berdakwah".

"Baiklah kak, saya cuba".

Senario di atas pernah berlaku kepada saya. Mungkin juga pernah berlaku pada sahabat-sahabat yang lain. Kita mudah untuk berputus asa atau berputus harapan pada benda-benda yang tidak pasti. Kita juga betah sekali mengatakan kita sudah berusaha dan berserah kepada Allah sahaja tetapi setakat mana usaha kita. Adakah setakat hangat-hangat tahi ayam sahaja. Contohnya seperti senario di atas, apabila timbul masalah mad'u, adakah kita sudah berusaha sehingga ke akhirnya. Atau yang lebih teruk lagi kita langsung tidak berusaha tetapi sudah berserah segalanya kepada Allah.



Kalau kita melihat definisi tawakal itu sendiri ialah menyerahkan segala-galannya kepada Allah apabila menghadapi sesuatu.

Firman Allah;

"Barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupinya". (At-Thalaq:3)

Islam sendiri mengajar kita agar berusaha atau berikhtiar terlebih dahulu dan barulah menyerahkan segalanya kepada Allah. Contohnya dalam berdakwah, kita tidak boleh memilih bulu. Kita hanya mengajak kebaikan kepada orang yang berpotensi besar dan mudah untuk berubah sahaja dan meminggirkan orang kita berasa tidak berpotensi besar dan susah untuk mengubahnya. Kita tidak tahu qada' dan qadar Allah kerana hidayah Allah terletak di tanganNya.

Tetapi apabila kita sudah melakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh, tetapi tidak mendapat keputusan yang tidak dijangkakan, di sinilah tawakal memainkan peranan. Dimana ia akan berfikir, terdapat hikmah disebalik keputusan yang dicapainya. Sesungguhnya Allah melihat kepada usaha seseorang itu dan bukan pada keputusannya.

Monday, February 1, 2010

Apa itu takwa?

Assalamualaikum w.b.t pada sahabat-sahabat sekalian,

Apakah maksud takwa?

Sahabat Umar Khattab pernah bertanya maksud takwa kepada sahabat Ubai bin Kaab. Ubai berkata, "Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?" Jawab Umar, "Ya pernah." Ubai bertanya lagi, "Apa yang kamu lakukan ketika itu?" Umar berkata, "Aku berhati-hati dan brsungguh-sungguh." Berkata Ubai," Itulah takwa."

Apa yang dapat kita fahami ialah, kita hendaklah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Oleh itu saya ajak sahabat-sahabat dan diri saya sendiri supaya menjadi orang yang bertakwa walau apapun badai yang datang melanda.. Insya'Allah.

Thursday, October 29, 2009

Takut pada Allah

Orang-orang mukmin adalah orang yang takut kepada Allah dan seluruh anggota badannya. Sebagaimana Abul Laits telah berkata;

"Tanda-tanda takut pada Allah itu kelihatan tujuh perkara"

Pertama pada lisannya. Dia menghindarkan dirinya daripada ghibah, sebar fitnah, berbual kosong dan banyak berbual. Malah menyibukkan diri dengan berzikir, membaca Al-Quran dan muzakarah ilmu.

Kedua pada hatinya. Dia membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Lantaran kedengkian itu dapat menghapuskan kebaikan. Sebagaimana Rasullulah telah bersabda;

"Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu."

Ketahuilah bahawa hasad itu penyakit hati yang amat berbahaya. Tidak ada ubat untuk penyakit hati selain dari ilmu dan amal.

Ketiga pada pandangannya. Maka dia tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian atau hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpikat pada dunia. Tetapi dia memandang dengan iktibar. Rasullulah telah bersabda;

"Barangsiapa memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah akan memenuhinya daripada api pada Hari Kiamat."

Keempat pada perutnya. Maka perutnya tidak diisi dengan barang yang haram. Sebagaimana Rasulullah bersabda;

"Manakala sesuap daripada barang haram masuk ke perut seseorang, maka seluruh Malaikat dari langit dan di bumi melaknatinya selama sesuai atau seteguk barang itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya di Neraka."

Kelima pada kedua-dua tapak tangannya. Dia tidak menggunakan untuk perkara yang haram. Tetapi hanya menggunakannya untuk taat pada Allah. Dirawikan daripada Ka'ab Akhbar, dia berkata;

"Sesungguhnya Allah tidak menciptakan bangunan dari Zabarjud Hijau. Di dalamnya terdapat tujuh puluh ribu aula. Setiap aula terdapat tujuh puluh ribu pondok. Tidak ada yang boleh masuk ke situ selain orang yang ditawarkan barang haram, namun dia menolaknya kerana takut pada Allah".

Keenam pada langkahnya. Dia tidak berjalan untuk maksiat. Tetapi hanya melangkah untuk taat pada Allah, mencari keredhaan-Nya, serta bergaul dengan para ulama' dan orang-orang soleh.

Ketujuh terlihat pada ketaatannya. Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Takut pada riak dan munafik. Barangsiapa yang melakukan tujuh perkara tersebut, maka dia termasuk dalam kategori yang diperkatakan oleh Allah SWT;

Ertinya; "Sesungguhnya orang-orang taqwa dalam kebun-kebun dan air mata(syurga)".

(Surah Al-Hijr : 45)

Seorang mukmin harus berada dia antara rasa takut dan berharap. Dia harus sentiasa mengharapkan rahmat Allah. Tidak berputus asa mengharapkannya. Wassalam...

Sumber; Buku Penenang Jiwa, Terjemahan Kitab Mukashafah Al-Qulub Imam Al-Ghazali.