Tuesday, December 9, 2008

:.Salam 'Eiduladha.:

Selamat menyambut hari raya ‘eiduladha kepada seluruh umat Islam. Alhamdulillah, dapat juga merasa menyambut hari raya haji di perantauan. Sebelum ini, hari raya haji disambut bersama keluarga tersayang di kampung yang semestinya lebih bermakna dan meriah tetapi kali ini hanya sahabat-sahabat yang menemani di sisi. Sayu juga hati menyambut hari raya tanpa keluarga di sisi, hati terasa membuak-buak ingin terbang pulang ke pangkuan keluarga. Apapun, jika erti sebenar hari raya korban difahami, walau di mana kita berada atau dengan siapa kita menyambutnya, hati akan tetap gembira meraikan hari kebesaran Islam itu.

Konsep sebenar korban dalam Islam bukanlah semata-mata menyembelih haiwan korban dan membahagi-bahagikannya kepada fakir miskin tetapi ia merupakan satu ketundukan, berserah diri dan sabar dalam menjunjung perintah Allah. Hal ini telah diterangkan dengan sejelas-jelasnya oleh Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

”Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan kamu.” (al-Hajj : 37)

Dalam ayat lain diuraikan dengan lebih jelas lagi, yang bermaksud:

”Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. Maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu, berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan sampaikanlah (Muhammad) khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah), (iaitu) orang-orang yang apabila disebut nama Allah hati mereka bergetar, orang yang sabar atas apa yang menimpa mereka, dan orang yang melaksanakan solat dan orang yang menginfakkan sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepada mereka.” (al-Hajj : 34-35)

Daripada ayat-ayat tersebut kita dapat simpulkan bahawa penyembelihan haiwan korban itu dihubungkan dengan rasa takwa dalam diri kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Ibadat korban juga secara terang dijelaskan dapat mempengaruhi hati kita, di mana hati menjadi gementar apabila nama Allah SWT disebut. Hati-hati yang bertakwa kepada Allah akan gementar bila takbir dilaungkan, kebesaran dan keagungan Allah disebut. Itulah sebaik-baik takwa di sisi Allah SWT.

Dalam ayat itu, disebutkan juga supaya orang-orang yang beriman bersabar atas segala musibah atau kesukaran yang menimpa mereka. Sebagaimana haiwan yang sanggup untuk dikorbankan, kita sebagai orang yang mengaku mukmin juga mestilah sedia mengorbankan hidup untuk berjuang di jalan Allah dengan penuh kesabaran dan kesungguhan. Perjuangan dan pengorbanan merupakan dua perkataan yang tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu, jika dipisahkan pincanglah ia. Begitu juga dengan perjuangan dan pengorbanan yang mesti seiringan demi sebuah kemenangan yang hakiki. Hukama’ pernah menyebut bahawa ”kejayaan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu”. Oleh itu, setiap yang bergelar pejuang tidak boleh lari dari melakukan pengorbanan yang bukan sedikit dan pasti juga bukannya mudah. Bukan sahaja harta dan tenaga, malah masa, keluarga dan juga jiwa harus sedia untuk dikorbankan oleh seorang yang menggelarkan diri mereka pejuang. Tetapi itulah sebaik-baik pengorbanan seperti yang disebut oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud :

”Berjuanglah kamu samaada ringan atau berat dan berkorbanlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah, yang sedemikian itu adalah yang terlebih bagi kamu jika kamu mengetahui.” (at-Taubah : 41)

Akhir kalam, sempena hari yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menghayati konsep sebenar ibadat korban dalam Islam. Marilah kita bersama-sama muhasabah diri kita samaada kita telah menjadi hamba yang benar-benar memiliki ciri-ciri pengorbanan yang sama seperti pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as yang sanggup mengorbankan anaknya, Nabi Ismail as atas rasa ketundukan dan kepatuhan akan perintah Allah SWT.

Pesanan penaja : Selamat berjuang dan berkorban kepada sahabat-sahabat seperjuanganku. Moga pengorbanan yang kita lakukan melayakkan diri kita untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

No comments: