Wednesday, August 12, 2009

Buah Kurma dan Kelebihannya



Di dalam Al-Quran terdapat satu kisah yang menceritakan kaitan antara buah kurma dan ibu mengandung. Di dalam surah Maryam ayat 23 hingga 26. Ia berkaitan dengan kisah Maryam yang menderita sakit semasa hendak melahirkan Nabi Isa.


"Maka rasa sakit hendak melahirkan anak memaksa dia bersandar pada pangkal pohon kurma. Dia berkata, 'Aduhai alangkah baiknya jika aku mati sebelum ini dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti lagi dilupakan. 'Maka Jibrail menyeru dari tempat yang rendah dengan berkata, 'Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goncanglah pangkal pohon kurma ke arahmu pasti pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenanglah hatimu.


Sememangnya, di dalam Al- Quran, Allah telah menjelaskan kelebihan dan manfaat buah kurma terutamanya untuk ibu mengandung walaupun tidak secara mendalam sebelum munculnya kajian-kajian dariapada Barat.


Disini ingin benar saya menceritakan kelebihan-kelebihan buah kurma memandangkan bulan Ramadhan akan menjelma dalam beberapa hari lagi. Buah kurma dan Ramadhan begitu sinonim sekali bak peribahasa Melayu bagai aur dengan tebing. Tidak sah buka puasa tanpa buah kurma. (Harap maklum. Ini bukan hukum). Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam digalakkan membuka puasa dengan buah kurma.

Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah melaporkan Nabi bersabda, " Apabila seseorang berbuka puasa, berbukalah dengan buah kurma. Apabila dia tidak memperoleh buah tamar, berbukalah dengan air kerana air itu pembersih.

Buah kurma sendiri merupakan makanan yang penting bagi Nabi dan keluarga baginda. Dalam sebuah hadith Bukhari dan Muslim,Aisyah berkata, "Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada (untuk dijadikan makanan) hanyalah buah tamar dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging.

Dalam riwayat lain Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Jaafar berkata, " Saya melihat Rasullulah memakan tamar basah (kurma) dan sayur dari jenis mentimun."

Hadis lain pula, sabda daripada Anas bermaksud;

"Rasullulah S.A.W berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka baginda Rasullulah S.A.W akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada biji anggur, maka baginda akan meminum beberapa teguk air.

Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh al-Shahib, W and Marshall, RJ bertajuk The Fruit of the Date Palm: Its Possible Use As The Best Food For the Future, buah kurma boleh menjadi makanan yang ideal pada masa hadapan.

Berikut nutrien yang terdapat dalam buah kurma;

  • kadar karbohidrat yang tinggi (44-48%)
  • kadar serat (6.4-11.5%)
  • kadar protein (2.3-5.6%)
  • kadar lemak dan minyak (0.2-0.5%)
  • protein dalam buah tamar jarang diperolehi seperti buah-buahan yang popular seperti oren, epal dan pisang.
  • kaya dengan mineral.
Selain itu, kadar magnesium yang tinggi dalam buah kurma mampu mencegah kanser justeru pakar-pakar mendapati penduduk-penduduk di kawasan Sahara jarang menghidap kanser kerana mereka banyak memakan buah tamar. (www.fao.org)

Kita juga digalakkan bersahur dengan beberapa biji kurma berikutan gula yang terdapat dalam buah kurma kebanyakannya terdiri daripada kumpulan fruktosa dan glukosa. Kedua-dua kumpulan gula ini dikenali sebagai invert sugar dimana ia diserap masuk ke dalam badan dengan segera tanpa melalui proses penghadaman seperti mana yang terpaksa dilalui oleh gua-gula jenis lain.

Berdasarkan dari kajian Prof. Madya Asiah Zain, Pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, UPM menyatakan pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan.

Rasullulah bersabda S.A.W;

"Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya akan kelaparan.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengikut sunnah Rasullulah. Rasullulah adalah contoh terbaik bagi kita. Selamat menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah ini kepada saudara-saudara Islam di luar sana. Islam is the best way of life..

Rujukan;

Buku Quran Saintifik (Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains)
dari Dr. Danial Zainal Abidin

www.warmfuzzy.wordpress.com

No comments: